Pages

Saturday, March 26, 2011

PEMILIHAN KURSUS PENGAJIAN DAN KERJAYA

Salam sejahtera,

Setelah menerima keputusan SPM, tibalah masanya untuk para lepasan SPM memilih jalan kehidupan yang seterusnya. Hal ini akan  memfokuskan kepada proses pemilihan kursus pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Objektif utama  kepada proses membuat keputusan ini ialah satu keputusan untuk mengikuti kursus yang diharap paling bersesuaian dengan pelajar,
mendapat restu dan sokongan daripada penjaga pelajar khasnya ibu bapa. Restu itu penting untuk para pelajar kerana mereka akan sentiasa mendapat keberkatan dalam hidup.

Pemilihan kursus bagi pengajian di peringkat yang lebih tinggi perlu dilakukan dengan berhati-hati. Ia perlu mengambil kira pandangan pihak lain umpamanya ibu bapa, para guru, ataupun tokoh yang telah berjaya dalam bidang berkaitan.

Di samping itu, pelajar perlu bersikap proaktif dan bijak dalam usaha mendapatkan maklumat berkenaan kursus, institusi pengajian dan potensi kerjaya berkaitan. Hal ini membantu pelajar membuat keputusan terbaik berdasarkan kepada maklumat yang diperoleh.

Terdapat pelbagai jenis sumber maklumat yang boleh diteroka oleh pelajar, umpamanya melalui laman web rasmi sesebuah institusi pengajian itu, forum maya, karnival pengajian tinggi, hari terbuka kampus, risalah, majalah,buku-buku panduan kerjaya yang TERKINI serta sumber-sumber yang lain.

Kebiasaannya, persoalan pertama yang bakal timbul ialah apakah kursus atau kerjaya yang ingin diikuti? Adakah ia kejuruteraan, perubatan, perakaunan, ekonomi, sains atau sebagainya? Secara umumnya jawapan kepada persoalan ini merujuk kepada minat serta kecenderungan yang dimiliki oleh seseorang pelajar itu.

Bagaimana untuk mengetahui minat atau kecenderungan diri? Secara ringkas, jawapan tersebut adalah berkait rapat dengan aktiviti bermanfaat apakah yang berhasil membuahkan kepuasan kepada diri pelajar setelah berjaya melaksanakannya.

Tetapi jika pelajar ingin mengkaji minat serta personaliti diri secara mendalam, pelajar boleh mengambil ujian personaliti diri daripada guru kaunseling ataupun Internet serta buku-buku panduan kerjaya yang TERKINI. Keputusan ujian tersebut mungkin dapat mengaitkan personaliti sesuatu kerjaya itu dengan personaliti diri pelajar.

Namun, dua kaedah tersebut hanyalah sebahagian daripada kaedah dalam proses mengenali diri dan ia tidak semestinya memberi jawapan mutlak kepada kerjaya yang menyamai minat diri.

Proses penerokaan minat diri berlaku secara berterusan dan kadang kala pelajar akan menemuinya dalam fasa kehidupan di kampus mahupun setelah bekerja nanti. Namun, kursus pengajian yang bakal diikuti selepas persekolahan menengah merupakan asas pengetahuan kepada apa jua kerjaya yang bakal diceburi kelak.

Seperkara juga yang perlu dikaji tentang sesuatu kursus itu ialah adakah ia diiktiraf oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) atau tidak. Hal ini penting agar sijil yang diterima setelah menamatkan kursus dapat diiktiraf oleh bakal majikan berdasarkan penarafan MQA.

Jadi untuk anda pelajar lepasan SPM 2010 khususnya,aspek ini perlu diberikan penekanan dahulu iaitu mengenali dan memahami ciri-ciri utama dalam pemilihan kerjaya.

Semoga anda akan membuat pilihan yang bijak.
Maklumat lanjut KLIK DISINI
++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++
IKLANEKA 
++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++++

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...